Monday 24 May 2010

Sayangi Peguam - Bab 22122010


Salah satu bentuk kebajikan yang aku benci nak lakukan ialah meminjamkan orang duitku. Para pembaca yang budiman pun telah sedia maklum bahawa aku ini kedekut dan berkira. Tambahan pula aku pernah jatuh teruk dalam hidupku dan kini kembali mengumpul duit untuk membina masa depanku. Jadi jangan haraplah sesiapapun nak mengambil masa depanku tersebut.

Pun begitu aku tahu bahawa korang taklah seburuk perangaiku ini. Namun mengikut pengalamanku sebagai seorang peguam selama 13 tahun ini mengajarku bahawa manusia yang suka meminjam duit ini kebanyakannya si pemungkir janji yang tak berniat untuk membayar kembali hutang tersebut. Jadi aku nak buat kebajikan untuk memastikan korang tak rugi bila meminjamkan duit korang kepada orang lain.

Buatlah suatu perjanjian dalam 2 set. Dan syaratkan perjanjian itu dibayar stamping fee-nya oleh si peminjam tadi. Dalam perjanjian itu masukkan perkara-perkara berikut :

1) Tarikh “Perjanjian Pinjaman Persahabatan”

2) Nama, nombor mykad dan alamat terkini korang (si pemberi pinjaman) dan nama, nombor mykad dan alamat terkini orang yang meminjam duit korang;

3) Nyatakan bahawa perjanjian ini adalah perjanjian pinjaman persahabatan dan korang tak boleh caj faedah atau riba’ kalau tak ada lesen pemberi pinjaman dari Bank Negara. Kalau caj juga, perjanjian ini menjadi tak sah dan tak boleh dikuatkuasakan di mahkamah. Silap gaya korang pulak yang masuk penjara!

4) Nyatakan jumlah pinjaman yang dipinjamkan kepada si peminjam itu.

5) Nyatakan tarikh spesifik bila si peminjam akan bayar atau jumlah ansuran bulanan pembayaran dan bila tarikhnya pembayaran tersebut akan berakhir. Nyatakan juga bahawa masa adalah sangat penting (essence) kepada perjanjian ini.

6) Lagi bagus kalau dia cagarkan sesuatu kepada korang sebagai jaminan pembayaran balik pinjaman. Kalau boleh biarlah ianya bernilai untuk dijual dan nilainya pula setara atau lebih dari jumlah pinjaman tersebut. Dan pastikan barang itu adalah benar-benar adalah miliknya. Kereta yang masih ada bank loan adalah bukan miliknya, tau? Dan pastikan korang dapat memegang barang ‘cagaran’ tersebut untuk disimpan dalam penjagaan korang. Dan buat repot polis siap-siap kalau-kalau nanti dia repot korang mencuri barangnya itu bila dia tak mampu nak bayar hutang.

7) Paling penting ialah wajib nyatakan jika si peminjam gagal membayar hutangnya, maka korang berhak merampas barang cagarannya dan menjualnya kepada orang lain. Atau korang boleh menyaman beliau di mahkamah bagi menuntut baki hutang yang masih tertunggak jika barang cagaran itu dijual dengan harga yang lebih rendah dari jumlah pinjaman.

8) Korang dan dia (kedua-dua pihak) mesti tandatangan di setiap mukasurat perjanjian tersebut dan pada mukasurat akhir mesti ditandatangani oleh saksi yang tau apa kejadahnya yang korang tengah buat. Lagi bagus kalau bukan saksi yang sama untuk penyaksian tandatangan korang dan tandatagan si peminjam.

9) Akhir sekali tempek setem hasil pada mukasurat depan setiap perjanjian tersebut dan matikan setem hasil itu kat pejabat LHDN atau pejabat tanah dan daerah. Tapi sebelum itu minta LHDN atau pejabat tanah kira berapa setem hasil yang perlu dibayar. Simpan satu salinan perjanjian tersebut sorang satu dan berdoalah korang tak perlu ke mahkamah atas kebaikan korang itu.

Ataupun paling mudah, jangan bagi pinjam!

Stay KULS.

1 comment:

  1. kalo pinjam RM10 takkan nak kena buat agreement kot? ;p

    ReplyDelete