Friday, 24 September 2010

Aktiviti Cinta Yang Baharu

KULS 23/9/2010

Salah satu perkara yang membuatkan perhubungan cinta kita menjadi hambar ialah kerana ‘kelaziman’. Korang dan isteri/gofren korang setiap hari melalui jalan yang sama ketika pulang kerja, berdating di tempat sama dan membuat aktiviti yang sama. Ketikamana aku berpindah rumah, setiap kali aku pulang dengan gofrenku pasti kami akan singgah di rumah baruku untuk mengemas dan membersihkan sedikit demi sedikit rumah tersebut. Aku bukak pintu utama dan sliding besau-besau, tau? Kalau tak naya kena cekup! Dulu kami pulang dari tempat kerja bersama dan singgah makan di tempat yang sama. Lama-kelamaan dah tak teruja rasanya. Tapi bila kami singgah untuk mengisahkan rumahku (rumah kami satu hari nanti), aku berasa sangat teruja dan tak sabar-sabar untuk bersama gofrenku membuat aktiviti baru kami.

Jadi aku pun mulalah terfikir akan perasaanku itu dan berfikir macam mana untuk mengekalkan momentum perasaan tersebut. Setakat ini aku ada dua tiga aktiviti baru untuk dibuat (bukan maksiat, tau?). Tapi mungkin kena juga uji keberkesanannya. Kalau korang pun rasa apa yang aku alami, mungkin korang juga patut mencari aktiviti yang baru untuk menghidupkan perasaan teruja korang. Mungkin korang boleh mengambil jalan lain yang lebih jauh untuk pulang bersama. Atau menaiki highway dan travel ratusan kilometer hanya semata-mata untuk makan di KFC. Atau masak dan buat bekal untuk dimakan bersama instead ke restoran atau gerai makanan untuk makan tengah hari. Apapun kalau ada idea yang bagus, janganlah kemut nak kongsi denganku, okey?

Stay KULS.

Sayangi Peguam Anda Bahagian 357

KULS 22/9/2010

Baru-baru ini sekali lagi aku berhadapan dengan kes kena tipu bila menjual kereta. Klien aku ni keretanya masih kena bayar loan. Tapi dia gatai-gatai nak pakai kereta baru. Jadi nak cincai punya pasai, dia pi tolak aje di kedai used car. Tokeh tu beria-ia berjanji akan dapatkan pembeli baru. Memang akhirnya dapat. Klien aku dengan senang hati membeli pula kereta lain. Empat bulan kemudian, beliau disaman kerana gagal menjelaskan keretanya yang pertama tu dulu. Dia pergi check kat kedai used car. Tokeh tu tak ngaku. Kereta dia tu dah hilang entah ke mana. Sekarang klien aku terpaksa membayar untuk 2 kereta. Kesian dia. Tapi kes sebegini memang ramai orang dah terkena.

Nasihat aku kepada korang yang bercadang nak menjual kereta yang masih dalam loan ialah, pergi berjumpa dengan pegawai bank yang memberikan loan kereta korang tu. Tanya dia apa yang patut korang buat sebelum menjual kereta tu kepada orang lain dan apakah prosedur yang patut korang patuhi. Kalau bernasib baik pegawai bank tu boleh tolong carikan pembeli atau kedai used car yang boleh dipercayai dan tak akan menipu korang.

Kalau korang nak bagi orang lain pakai kereta korang yang masih dalam loan tu dengan syarat dia sambung bayar loan, maka nasihat aku ialah buat dalam hitam putih. Satu lagi nasihat aku ialah jangan buat surat perjanjian kalau korang tak pernah buat. Lebih baik buang sedikit duit dalam RM500 untuk mencari peguam bagi menderafkan perjanjian yang sempurna. Banyak kali aku tengok perjanjian yang dibuat oleh orang biasa adalah tak sempurna dan akhirnya menimbulkan masalah kepadanya selepas itu bila dituntut di mahkamah. Tapi tak apalah sebab aku tetap dapat fee aku sebanyak RM10,000 sahaja, tak kira menang atau kalah.

Stay KULS.

Televisyen Meruntuhkan Rumahtangga?

KULS 21/9/2010

Sekarang ni dah terlampau banyak kes-kes perceraian, kes suami belasah isteri, isteri simbah asid kat suami, isteri main kayu tiga, suami cari pompuan lain, anak lari daripada rumah, remaja terberanak anak haram… majoritinya adalah orang Melayu beragama Islam. Buat aku terfikir juga kenapa bangsa lain tak ‘sehebat’ kita dalam kes-kes sebegini?

Mungkin aku silap, namun pada pemerhatianku puncanya adalah kerana cerita-cerita yang dipertontonkan kepada orang Melayu melalui kaca tv atau wayang. Tengoklah cerita Di Bawah Ketiak Isteri sebagai contoh. Kelakar… macam haram jadah. Cerita jenis macam inilah yang membuatkan semakin ramai kaum isteri berani mempelecehkan dan meninggikan suara kepada suami. Atau tengoklah cerita-cerita drama yang ada unsur-unsur Datuk atau Tan Sri yang gatal mencari pompuan muda bergetah. Yang tebaru ni cerita Madu 4. Orang yang membuatnya adalah orang pandai tapi ceritanya memang cerita bodoh. Ada mesej kunun… Mesej yang aku nampak ialah betapa murahnya nilai pompuan Melayu ni demi harta dan wang.

Ceria zaman sekarang ni kebanyakannya taraf macam cerita Mat Sentul. Jangan cakap la nak celen P. Ramlee. Cuba tanya peminat filem. Tengok cerita-cerita P. Ramlee kat tv berapa puluh kali pun tak bosan dan tetap tergelak berdekah-dekah. Ada tak filem Melayu sekarang yang setaraf dengan cerita P. Ramlee dan tak jemu-jemu ditonton? Kalau jawapannya tak ada, maka filem atau cerita Melayu kita ni sebenarnya di tahap era 1940an sahaja. Atau mungkin P. Ramlee sendiri terlalu advance sehingga 50 tahun terkehadapan daripada industri filem dan drama tv kita sekarang.

Stay KULS.


Bisnes Internet Berjaya Kerana Manusia Malas?

KULS 20/9/2010

Baru-baru ini aku mendapat tahu bahawa ramai orang boleh membuat untung dengan berniaga di internet iaitu di blog dan facebook. Aku agak skeptikal pada mulanya kerana menatang yang mereka jual adalah tudung, baju kurung, produk kecantikan dan barang-barang yang memang boleh didapati di kedai-kedai berdekatan rumah kita. Tapi bila memberku memberitahu beliau membuat untung RM1,000 ke RM2,000 sebulan hanya dengan berniaga duit-duit lama, dekat secawan aku menelan air liur mendengarnya!

Tak sangka sungguh manusia dah menjadi semakin malas sampai nak ke kedai dalam sepuluh langkah pun tak mau. Sanggup klik facebook untuk cari tudung. Dan aku perasan bahawa barang yang paling laku ialah barangan orang pompuan. Betullah dalam buku bisnes yang aku baca bahawa kalau kita boleh membuat sesuatu untuk menyenangkan manusia, maka kita akan menjadi kaya.

Antara barangan yang aku tengok sangat top dibeli di internet ialah tudung, pakaian bebudak, beg tangan terpakai berjenama, handphone dan alat membesarkan buah dada atau zakar lelaki. Memang ngetop punya!

Mungkin kita pun patut sama-sama menjual barangan kita melalui internet demi untuk membuat bekas bini/gofren kita menyesal bila kita kaya-raya kelak. Tapi otakku yang tak semenggah ni pulak asyik terfikir untuk menjual benda merapu. Antara barangan yang aku teringin nak jual ialah pen dah separuh guna, bekas cawan Starbuck pakai buang, kayu yang aku kutip kat tepi jalan… haha! Sahih tak laku.

Stay KULS.


Friday, 17 September 2010

Selamat Hari Malaysia

Selamat Hari Malaysia. Di kesempatan ini aku berharap akan beberapa perkara. Antaranya ialah:

1) Konsep Rukun Tetangga kembali aktif agar terhindar kes seperti ustazah yang dibunuh oleh jiran sebelahnya.

2) Masjid dijadikan tempat aktiviti-aktiviti menarik untuk para remaja seperti pertandingan futsal, skateboard dan lain-lain. Juga boleh dijadikan tempat untuk kelas-kelas orang dewasa seperti kelas bahasa Inggeris atau Mandarin, kelas memasak untuk bakal-bakal isteri atau suami, kelas automotif asas, seni mempertahankan diri dan lain-lain.

3) Tiada lagi kisah-kisah pembunuhan ngeri yang dilakukan oleh kumpulan samseng. Diharapkan agar PDRM segera menangani mereka dengan extreme prejudice untuk mengembalikan keamanan Malaysia.

4) Karya-karya sastera yang istimewa disokong oleh kerajaan untuk diketangahkan di peringkat antarabangsa.

5) JAKIM segera menyenaraikan produk-produk atau restoran-restoran yang halal dan dibuat dalam bentuk buku panduan demi untuk umat Islam.

6) Kerajaan lebih patut mengutamakan penerapan nilai agama Islam yang semakin pupus di dalam jiwa remaja Melayu berbanding dengan ketuanan Melayu itu sendiri.

Stay KULS.

Thursday, 16 September 2010

Karya Jumud Rakyat Malaysia

Aku sangat mengagumi bangsa Jepun. Aku adalah salah seorang daripada jutaan peminat komik Jepun (mangaka) dan anime mereka. Satu yang aku tengok pada bangsa Jepun ialah bahasa Inggeris mereka sangat pelat dan merapu tetapi mereka masih berjaya menembusi pasaran antarabangsa baik dari segi manga, anime maupun muzik dan fesyen.

Melalui manga dan anime, mereka berjaya memperkenalkan budaya mereka kepada masyarakat antarabangsa. Tengok sajalah restoran Jepun di Malaysia. Kini rakyat Malaysia pun dah mula gila makan sushi. Malah mereka memperkenalkan pertandingan Cosplay pula iaitu para peminat manga dan anime masing-masing berpakaian seperti watak-watak hero atau penjahat yang mereka minati.

Kalau korang masih berpandangan sinis, lihat saja komik Dragonball, Slam Dunk dan One Piece. Kesemuanya telah terjual lebih dari 100 juta naskhah di seluruh dunia. Ini belum dikira jualan cetak rompak lagi. Bayangkanlah kalau novel merapu yang aku buat mampu terjual 100 juta buah. Memang sampai mati cicit aku pun tak habis lagi kekayaan tersebut!

Aku berpandangan bahawa rakyat Malaysia pun sebenarnya boleh mencapai apa yang mereka capai. Namun masalahnya negara kita ini terlalu ramai pengkritik yang nak membunuh daripada pengkritik yang nak tengok kita maju. Tengok sajalah genre muzik Indie atau underground dulu. Kumpulan Hujan dikutuk habis-habisan kerana meniru kumpulan muzik Indonesia. Orang-orang yang mengutuk itu pun komposer-komposer yang meniru lagu-lagu dari negara barat juga seperti hip-hop, R&B dan jazz. Keseimpulannya ialah sebenarnya kebanyakan yang mengkritik ini busuk hati dan dengki.

Filem kita pun begitu jugalah. Balik-balik kebanyakannya filem lawak bodoh, filem hantu dan filem samseng yang tak ada isi kecuali cerita cinta. Kalau filem berat pulak terlalu simbolik sampai orang lain pun tak paham. Ketikamana Mamat Khalid dikutuk kerana filem Kala Malam Bulan Mengambang, siapa pun tak sangka beliau mendapat pengiktirafan daripada para pengkritik filem luar negara. dan lepas itu macam biasalah... Mamat Khalid disabotaj habis-habisan hingga nak membunuh potensi serta bakatnya.

Aku membuat novel cerita pelik-pelik dan tak masuk akal kerana dah jemu dengan tema cerita novel yang sama. Mungkin buat masa ini tak ada siapa yang nak pandang walau sebelah mata pun karya-karya orang-orang macam aku ini. Tapi aku percaya bahawa satu hari nanti orang-orang macam kamilah yang akan dianggap sebagai maestro dalam bidang kesusasteraan. Kalau karya aku tak laku tapi karya-karya para penulis macam aku jadi popular, aku pun dah cukup gebira kerana akhirnya aku barulah rasa berbaloi untuk membeli novel-novel genre yang aku suka.

Stay KULS.

Cowboy dan Gangster

Rasanya isu yang paling hangat diperkatakan sekarang ini ialah berkenaan dengan pembunuhan multi-millionair bernama Sosilawati. Takziah diucapkan kepada keluarga Allayarhamah dan serta mangsa-mangsa yang bersama beliau dalam tragedi tersebut. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua.

Ingat tak dalam artikelku sebelum ini yang menyatakan bahawa orang yang hidup dalam keganasan akan berakhir dengan cara yang sama juga? Itulah yang bakal terjadi kepada para pembunuh mangsa-mangsa tersebut. Mereka akan mati dengan tiada secalit kebanggaan dan keluarga serta keturunan mereka akan dicemuh sehingga mati. Lihat sahaja waris kepada Mona Fandey.

Aku juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana berjaya mengesan dan menangkap para pembunuh tersebut. Teruskan usaha kalian semua agar para penjenayah tahu bahawa apa yang mereka lakukan pasti akan dapat dihidu oleh PDRM.

Namun aku berasa amat bimbang kerana gangster-gangster ini semakin berani menunjukkan taring dan sekaligus memberi gambaran bahawa mereka lebih berkuasa dari undang-undang dan polis tidak mampu menyentuh mereka. Rakyat miskin atau kaya sekarang menjadi takut kepada gangster-gangster ini. Kalau korang tanya apa yang aku akan lakukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat bahawa Malaysia ini adalah selamat, maka aku akan arahkan gangster-gangster ini semuanya diburu macam haiwan dan dibunuh tanpa sebarang kasihan. Ingat tak cerita Tombstone bagaimana Wyatt Earp 'mengerjakan' ahli kumpulan samseng bernama 'Cowboys'? Hah, itulah yang akan kulakukan kepada mereka. Para penjenayah ini telah menanam ketakutan kepada rakyat. Jadi biarlah mereka pula yang merasai ketakutan tersebut kali ini...

Stay KULS.

Tuesday, 14 September 2010

Mendidik Tahap Kesabaran Pemandu

Rasanya tak terlewat untuk aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam yang berpuasa. yang tak berpuasa tanpa sebarang alasan munasabah tu korang jawab la dengan Allah kelak, ya?

Ingat tak dalam artikelku yang lalu bahawa aku akan mengamalkan cara berdiet ikut stail berpuasa dalam bulan biasa ini. Setakat ni aku tak ikut lagilah dek kerana asyik bertandang ke rumah sedara mara dan sahabat handai. Haha! Namun sebelum raya haritu aku lihat berat badanku dah turun menjadi 59 kilogram berbanding dengan hari biasa iaitu 64 kilo. Masa itu tubuhku menjadi ringan dan ligat. Sekarang ni rasa berat dan malas. Heh! Jadi aku berazam untuk mengotakan janjiku tersebut agar sentiasa muda, bertenaga dan ceria. Haha!

Rasanya tidak terlewat untuk aku berpesan agar berhati-hati semasa berada di jalanraya. Aku tengok ramai sangat di antara kita ni yang memandu ikut perasaan ketika time macam ini. Tapi tak boleh salahkan mereka juga. Banyak faktor yang menyumbang kepada kemalangan ngeri tersebut. Paling utama ialah akibat tidak sabar. Sebab tidak sabar pula ialah kerana kebanyakan pemandu jarang membuat perjalanan jauh. Dah biasa ke pejabat dalam 20 ke 30 minit. Tiba-tiba kena memandu selama dua tiga jam. Aku yang banyak memandu jauh ni tak rasa tension sangat sebab dah terdidik tahap kesabaranku.

Jadi cadanganku pada kalian yang jarang membuat perjalanan jauh ialah agar membuat praktis terlebih dahulu di Ramadahan hadapan. Seminggu atau 2 minggu sebelum raya, cubalah cari peluang untuk membuat perjalanan jauh seberapa kerap yang mungkin agar dapat membiasakan diri korang dan stamina korang. Mungkin dengan cara ini, emosi korang akan lebih stabil dan boleh mengelakkan kemalangan jalanraya.



Stay KULS.