Thursday, 1 July 2010

Antara Mengundi SPR dan Akademi Fantasia

KULS 1-7-2010

Baru-baru ini sebuah akhbar begitu heboh menyatakan bahawa nisbah orang Melayu yang mendaftar untuk menjadi pengundi dengan SPR adalah 1 sahaja berbanding dengan bukan Melayu sebanyak 40 orang. Aku pun sebenarnya tak tahu apakah motifnya akhbar tersebut mengeluarkan berita sedemkian. Tapi aku khuatir ianya mungkin akan memberikan impresi kepada orang bukan Melayu bahawa api perkauman sekali lagi ditiup secara tak langsung. Mungkin akhbar tersebut patut berhati-hati agar tidak mengeluarkan lagi kenyataan yang bertentangan dengan konsep 1Malaysia sekarang.

Pun begitu, apakah sebabnya ramai sangat orang Melayu yang tak ambil kisah tentang nak mendaftar sebagai pengundi ni kalaulah betul statistik tersebut? Jawapannya senang aje. Cuba tengok dalam tv. Rancangan hiburan paling banyak dalam bahasa apa? Daripada bolasepak hinggalah ke Gelanggang Raja Lawak… penuh dengan orang Melayu. Majoriti orang kita ini otaknya dah biasa dengan isu-isu hiburan ringan hingga tak mampu lagi nak mengendalikan isu-isu berat. Tak pedulilah siapa yang memerintah asalkan ada rancangan hiburan dan pertandingan menyanyi setiap tahun.

Pun begitu, SPR janganlah berputus asa. Tak perlu mengeluarkan belanja yang banyak demi untuk menyemai kesedaran orang-orang Melayu agar pergi mendaftar sebagai pengundi. Berikut adalah cadangan-cadanganku bagi mencapai matlamat tersebut:

1) Adakan konsert atau gig tertutup. Kalau nak masuk, bukan kena bayar tiket tapi perlu mendaftar sebagai pengundi di pintu masuk konsert atau gig tersebut. Orang yang belum mendaftar sahaja. Yang dah mendaftar tak boleh masuk. Blah! Blah!

2) Buat tawaran diskaun RM300 untuk saman trafik bagi mana-mana individu yang pergi mendaftar sebagai pengundi. Caranya mudah saja. Mereka pergi dulu ke kaunter pendaftaran SPR. Selepas mendaftar, mereka akan diberikan kupon RM300 diskaun. Kupon tersebut bolehlah ditebus di mana-mana cawangan trafik yang berhampiran.

3) Sesiapa saja yang nak menyertai pertandingan hiburan Akemi Fantasia, Mentol, One Million Dollar Man, Baja Lawak dan seumpamanya, syarat paling utama ialah telah mendaftar sebelum ini sebagai pengundi. Sahih beribu Melayu yang sanggup pergi mendaftar di SPR semata-mata nak masuk pertandingan. Menujuk puncak yang satuuu… tapi kena daftar SPR duluuu…

4) Bagi mana-mana orang Melayu yang nak bekerja dengan kerajaan, buat syarat tambahan iaitu mereka wajib mendaftar sebagai pengundi dengan SPR terlebih dahulu sebelum memohon kerja di SPA. Haha! Macam puisi pulak bunyinya.

Stay KULS

No comments:

Post a Comment