Friday 30 April 2010

Cinta Monyet Yang Agung


Korang masa zaman remaja dulu pasti pernah ada jatuh hati (crush) kat mana-mana selebriti, kan? Aku pun tak terkecuali juga. Dalam banyak-banyak yang aku ada crush, paling kelakar sekali ialah masa aku ada crush kat personaliti TV3 iaitu Wan Zaleha Radzi. Haha!

Aku pasti tentu ada di kalangan korang pun pernah ada crush kat dia juga. Sebab pada masa itu bukan aku saja, malah dua-tiga orang kawanku juga turut syok kat personaliti ini. Aku siap menggunting gambarnya dari suratkhabar dan bubuh plastik elok-elok sebelum ditampal di dinding bilikku. Ngam-ngam aku boleh menatap posternya tatkala berbaring di katil sebelum melelapkan mata. Memalukan betul. Tapi rasa kelakar pun ada juga bila dikenangkan kembali.

Salah seorang kawanku lagilah teruk. Dia memberitahu kami (group yang syok kat Wan Zaleha) bahawa setiap kali lepas solat, pasti dia akan berdoa agar Wan Zaleha selamat sejahtera dan hidup bahagia di dunia akhirat. Kami tak mentertawakan dia pada masa itu. Malah kemudiannya secara senyap-senyap kami berlumba-lumba untuk berbuat perkara terbaik pada Wan Zaleha. Dan kemudian bersaing-saing bila bercerita.

Sungguhpun itu hanyalah cinta monyet bebudak remaja, namun ianya tetap cinta yang agung dan suci. Yalah, mana-mana perempuan pun akan berasa bertuah kalau suami atau boyfriend mereka berbuat macam kami tadi. Namun bila kita dah dewasa, bagi kita cinta suci seperti itu hanyalah untuk budak-budak sahaja. Kebanyakan orang bercinta adalah kerana paras rupa, pangkat, harta dan macam-macam lagi perkara yang lebih menjurus kepada kebendaan.

Apa salahnya kalau cinta bebudak itu disemai dalam setiap hati lelaki dan wanita dewasa yang bercinta? Mungkin ianya ada dipraktikkan tetapi golongan ini mungkin minoriti sahaja. Apa yang kulihat ialah, selepas berkahwin isteri berjalan jauh di hadapan manakala suaminya terkial-kial membawa troli shopping di belakang. Isterinya itu sangat bergaya dan wangi sekali. Suaminya pula berpenampilan selekeh dan memakai selipar. Bila makan di restoran mereka tidak langsung berbual-bual seperti sebelum berkahwin dulu. Malah agak melampau juga bila kulihat kadang-kadang si isteri lebih suka bermain SMS daripada melayan suaminya berbual.

Kalau inilah definisi cinta, maka cinta tidaklah begitu indah seperti yang didakwa.

Stay KULS :)

Thursday 29 April 2010

Diet Cara Lelaki

Sebenarnya kaum lelaki ni pun turut mengambil berat tentang berat badan mereka. Yalah, peratusan untuk mendapat bakal isteri yang secantik model adalah sangat rendah kalau anda berfizikal macam badak air kekenyangan. Kecualilah kalau korang ada banyak duit macam Sean Kingston tu :P


Aku dilahirkan ke dunia yang fana’ ini dengan memiliki kadar metabolisme yang sangat tinggi. Kira tahap aku ni macam jaguh kelas satu kalau dalam cerita komik Pendekar Laut. Aku boleh makan nasi tiga kali tambah dan masih mempunyai berat badan setakat 48 kilogram aje. Walau berapa banyak aku makan (atau mentedarah menurut member-member aku di UKM) sekalipun, lebih kurang tiga jam kemudian aku pasti akan berasa lapar kembali.


Namun langit tak selalunya cerah. Chewah! Bila umurku semakin meningkat, kadar metabolisme dalam badanku pula semakin menurun. Jadi aku juga turut diserang dengan sindrom kegemukan. Berat badanku pernah mencecah 67 kilogram. Namun sekarang aku berjaya maintain sebanyak 60-62 kilogram saja. Umurku sekarang dah mencecah 37 tahun. Tapi masih maintain. Kagum, kan?


Apakah rahsianya? Aku tak perlu pergi Marie France ke atau London Weight Is Falling Down ke untuk berdiet. Membazir duit aje. Caraku lagi murah. Aku cuma mendisiplinkan diri bila makan. Aku makan tak ikut nafsu walaupun lauknya tersangat lazat. Aku tidak makan semahu-mahunya bila dibelanja dan lebih suka makan makanan yang kumasak sendiri. Tau tak minyak gorengan kat kedai makan yang dipakai berkali-kali adalah punca korang jadi gemuk?


Aku juga selalu memarkir (parking) keretaku agak jauh dari bangunan atau tempat yang aku nak pergi. Dapatlah exercise sikit. Aku juga sekali-sekala meminum kopi sebab kandungan kafein dalam kopi mampu menurunkan berat badan kita. Bila bekerja di pejabat, aku suka berulang-alik untuk mengambil dan menyimpan fail-fail satu demi satu agar aku sentiasa dapat bersenam.


Kalau korang ada teknik lain yang murah lagi berkesan, meh la berkongsi sama denganku di ruang ini. Kita tunjukan pada orang pompuan bahawa lelaki lebih handal dalam berdiet-diet ni.


Stay KULS !

Masa aku berumur 19 tahun. Ngeri, siuut...




Gambar aku dan anakku Damia ini ditangkap pada September 2009




Gambar aku dan anakku Damia pada Februari 2010. Damia dah besar.

Tapi aku masih maintaiiin...




Inilah makanan yang aku masak.Tak perchayya?

Wednesday 28 April 2010

Mari Mengorat Perempuan (Hikmat Pertama)

Hikmat Warna dan Bau Menghancurkan Tengkorak :D


Ada banyak artikel tentang cara mengorat perempuan. Aku tak taulah berkesan atau tak. Sebenarnya kalau korang mengorat stail ala-ala cerita Ali Syaitan atau Gila-Gila Babi Remaja atau Jangan Pandang Belakang Congkak Yang Bongkak, memang sampai putus urat peranakan pun tak akan berjaya. Kalau dapat pun ketegori bohsia. Kalau awek idaman tu, kirim salamun la...


Aku bukanlah buaya sangat bila tang memikat pompuan ni. Naga selat pun bukan (itu sepupu aku). Tapi kadang-kadang psikologi pun memainkan peranan penting juga. Dalam ramai-ramai lelaki yang cuba memikatnya, bagaimanakah cara agar korang yang sentiasa menonjol di hatinya? Aku biasa mencuba cara ni. Boleh dikatakan keberkesanannya adalah hampir 90 peratus berjaya. Baca dan hayatilah hikmat maut ini!


Kenalpasti warna, bau dan perkara-perkara yang gadis idaman kamu sukai. Katakanlah dia suka warna ungu gelap, bau perfume jenis aqua dan cerita Deathnote. Jadi kamu sepatutnya memakai baju yang ada warna ungu gelap, perfume Davidoff Aqua (tak pun one drop perfume jenis aqua kalau nak berbajet, kedekut!) dan baju-T dengan gambar watak cerita Deathnote. Mungkin bagi kamu perkara ini kecik, tapi impak dia sebenarnya sangat besar. Perempuan sukakan perkara yang dia kenali atau minati. Dia tak berapa kenal kamu sama macam beliau tak kenali lelaki-lelaki yang cuba mengoratnya juga. Tapi dengan adanya perkara yang dia suka pada tubuh kamu, beliau akan berasa seolah-olah kenal mesra dan selesa dengan kamu.


Tak percaya? Cuba dulu. Aku selalu berbuat begini bila ada kes di hadapan majistret atau hakim wanita (clue : tali leher dan perfume). Mungkin suatu kebetulan, tetapi aku selalu terlepas dari kena marah kalau buat silap. Ha!



Stay KULS !

Tuesday 27 April 2010

Mengorat Perempuan (Bah 1)


Baru-baru ni aku terdengar suatu rancangan radio yang kununnya mampu menyelesaikan masalah cinta para pendengar mereka. Dalam satu insiden, seorang pendengar mereka berjantina lelaki meminta deejay ala cupid ini mewakilinya untuk meluahkan rasa cinta beliau terhadap seorang gadis yang diminatinya.

Rancangan yang kononnya amat romantik tersebut akhirnya telah back-fired lelaki tersebut termasuk deejay cupid itu apabila dengan terang-terang perempuan tersebut mengatakan bahawa tindakan lelaki tersebut adalah memalukan.

Memang memalukan. Sebagai seorang lelaki, lelaki tersebut macam tak ada tulang belakang. Bagi aku hanya pengecut yang berbuat begitu. Dia bukan sahaja memberikan isyarat jelas kepada gadis idamannya itu bahawa beliau seorang yang tidak mempunyai keyakinan diri, malah meletakkan gadis idamannya dalam situasi yang sukar. Gadis tersebut tentu tidak mahu memalukannya dengan menolak cinta lelaki tersebut di dalam radio. Lagipun tentu beliau nampak macam kejam dan akan dicop perempuan tak ada hati perut oleh para pendengar.

Apa salahnya kalau lelaki tersebut bersemuka dengan si gadis idamannya dan memberitahunya dengan terus-terang? Ataupun kalau tak berani sangat, tulis sahaja surat tanpa nama dan tandatangan dan berikan kepada gadis idamannya itu. Bagitau dia bahawa lelaki tersebut yang menulis untuknya. Sekurang-kurangnya kalau si gadis menolak, beliau masih menghormati lelaki tersebut. Kalau diwar-warkan dalam radio sedemikian rupa, mungkin si gadis tersebut selepas ini tak ingin langsung melihat muka lelaki itu lagi.

Kita ini lelaki. Jadilah seperti lelaki.

Stay KULS ...

Monday 26 April 2010

SEX SEKS


Tentu terbelalak bijik mata korang melihatkan tajuk di atas. Sebenarnya aku nak bercakap tentang isu yang timbul baru-baru ni iaitu pendidikan seks di sekolah. Ini adalah bertitik-tolak daripada kawan perempuan aku yang telahpun memiliki ijazah dengan kepujian tetapi baharu-baharu ini baharulah aku mengetahui bahawa pengetahuan seksnya langsung tak boleh dipuji.

Aku ingat lagi kali pertama aku didedahkan tentang seks ini. Masa itu umur aku baru saja mencecah 9 tahun. Aku bersekolah dalam Darjah 3 di Cator Avenue Ipoh. Suatu hari seorang kawanku membawa beberapa keratan majalah dengan gambar wanita berbogel dalam pelbagai aksi. Aku langsung tak berasa terangsang, sebaliknya mengingau bila mengingatkan bulu ari-ari mereka yang bagaikan hutan hujan Khatulistiwa.

Aku sebenarnya pada masa itu sudahpun tahu membezakan struktur fizikal budak lelaki dan perempuan. Tetapi bila melihat gambar-gambar tersebut, baharulah aku mengetahui bahawa terdapat perkara yang istimewa tentang perempuan yang bertelanjang sehinggakan gambar-gambar mereka terpampang di majalah.

Aku mulai mengetahui bahawa lelaki dan perempuan menggunakan alat kelamin mereka untuk melakukan hubungan seks pada usia 13 tahun. Itupun bila aku, adikku dan sepupuku secara tak sengaja terpasang video lucah milik abang saudara kami yang disamarkan dengan tajuk Labu Labi. Memang kami berasa cukup terangsang pada masa itu. Malah video lucah tersebut memberikan impresi kepada kami bahawa perempuan memang sukakan seks dan mudah sahaja diajak melakukan hubungan seks.

Bayangkanlah jika kami ini budak perempuan... Tentu kami menyangkakan bahawa perempuan patut menyerahkan tubuh mereka kepada teman lelaki kerana seks adalah suatu kewajiban dalam percintaan. Dan inilah yang telah melanda para remaja perempuan sekarang. Natijah mereka ini cetek tentang pengetahuan seks.

Jadi aku menyokong seratus peratus pendidikan seks ini. Malah dalam panduan syariat Islam kita juga terdapat pendidikan seks di dalamnya. Contohnya tentang mengasingkan tempat tidur antara adik-beradik lelaki dan perempuan bila mereka mencapai tahap umur tertentu. Pendidikan seks di sekolah mestilah bermatlamatkan pencegahan dari melakukan maksiat, zina dan seks luar tabii.

Bagi yang menentang matlamat tersebut, cuba fikirkan tentang satu perkara : Anak anda tetap akan mengetahuinya melalui rakan sebaya, internet dan dvd lucah. Seperti juga aku pada zaman remajaku, anak-anak ini juga akan tersilap faham tentang konsep seks dan berisiko untuk melakukan sesuatu yang mereka akan kesali kelak.

Stay KULS.

Friday 23 April 2010

Lima DVD untuk anda tontoni sempena 1 Mei 2010



1 haribulan Mei adalah cuti pekerja. Bosannya kalau anda tak ada nak dibuat. Jadi kalau anda terpaksa melepak kat rumah, apa salahnya jika menonton cerita-cerita di bawah ini. Semuanya bersifat kelelakian sejati. Grrrarraghh!! Killl! Kill! Die! Die!


1) Shawshank Redemption




Kisah yang aku anggap sebagai kisah hidup banduan yang terbaik selepas Escape From Alcatraz. Cerita Prison Break pun tak sebagus cerita ini. Kisah tentang seorang pegawai bank yang tidak bersalah namun dipenjarakan atas tuduhan membunuh isterinya. Di penjara beliau belajar menjadi seorang yang licik dan berjaya menipu sistem keadilan yang tidak adil kepadanya.



2) Equilibrium




Cerita yang menaikkan nama Christian Bale (hero Batman). Mengisahkan manusia terpaksa hidup tanpa perasaan demi untuk mengelakkan berlakunya peperangan dunia keempat. Emosi dan nafsu adalah punca utama manusia bersengketa. Kumpulan pembunuh elit bernama Cleric ditugaskan untuk menghapuskan mana-mana manusia yang ingkar memendam perasaan mereka (dengan memakan ubat). Namun apabila sahabatnya mati dibunuh olehnya sendiri, hero Cleric si Christian Bale mula meragui keberkesanan sistem tersebut.

Perkara KULS : Teknik pembunuhan Gun-Kata.


3) Soldier


Filem lakonan Kurt Russell ini mengisahkan seorang tentera bernama Sarjan Todd yang dilatih menjadi mesin pembunuh bagi pihak tentera semenjak dilahirkan lagi. Segala pengorbanan beliau akhirnya menjadi sia-sia apabila dikhianati oleh pihak tentera yang menggantikannya dengan pasukan tentera yang dilahirkan dengan teknik pengstrukturan genetik. Todd dibuang ke planet sampah dan beliau bertemu dengan sekumpulan manusia yang juga terkandas di situ. Todd diterima dengan hati yang terbuka oleh mereka dan beliau mulai mempelajari erti kasih sayang. Namun pihak tentera yang mengkhianatinya mula mengancam nyawa penduduk di situ apabila membuat latihan ketenteraan dengan menjadikan penduduk tersebut sebagai target practice mereka. Todd kini mesti berhadapan dengan pasukan tentera elit terbaharu tersebut dan sekaligus membalas dendam terhadap pihak tentera yang mengkhianatinya.

Perkara KULS : Kurt Russell tak banyak bercakap. Cuma bermain dengan ekspresi mukanya sahaja. Memang pelakon Kelas A!

4) Shrek


Siapa yang tak kenal Shrek? Memang memiliki sifat lelaki sejati termasuk tak romantik terhadap si heroin. Tapi tengok Shrek yang pertama sahaja. Yang lain macam sial...


5) Sin City


Tak boleh tidak, anda sebagai seorang lelaki sejati MESTI menonton cerita ini. Di adaptasi dari komik Sin City karya Frank Miller (pengarah Robocop 2 dan 300), cerita ini memang sangat ganas, seksis dan macho. Jalan ceritanya juga memang sangat bagus dan mungkin mampu membuatkan anda mengalirkan air mata. Dan perwatakan serta tubuh seksi Jessica Alba yang meliuk-liuk juga mampu membuatkan anda mengalirkan air liur. Aku sampai sekarang begitu. Hahaha!


Stay KULS!

Sayangi Peguam (Bah 1)


Ramai orang menganggap bahawa peguam adalah jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan perniagaan atau urusan yang membabitkan kewangan yang besar. Amatlah silap membuat tanggapan yang sedemikian. Itu hanyalah untuk doktor bila anda sakit. Jangan bila bisnes anda 'sakit' baru nak jumpa lawyer. Sebenarnya kami peguam ini juga adalah ejensi yang memastikan masalah seperti ini tidak berlaku. Boleh dikatakan bahawa kami ini mampu melakukan langkah-langkah pencegahan :)

Salah satu langkah pencegahan ialah dengan memasuki perjanjian bertulis apabila melakukan sesuatu urusan. Dan saya menasihatkan kepada anda semua agar jangan kedekut untuk melantik peguam anda sendiri jika pihak yang satu lagi melantik peguam. Malah anda sebenarnya boleh mengupah peguam untuk membacakan dan menjelaskan isi kandung perjanjian bertulis yang telah diderafkan oleh peguam pihak satu lagi. Kemudian hanya membayarnya sebagai fee konsultan.

Satu lagi peringatan : Tak semestinya peguam yang mempunyai firma yang besar dan cantik sahaja yang bagus. Lagipun mereka ini pasti tiada masa untuk anda dan akan meminta anak buah mereka yang menguruskannya. Dan risikonya ialah kadang-kadang anak buah mereka ini adalah SANGAT TIDAK BAGUS. Jadi lebih baik pergi ke firma kecil atau sederhana agar kes anda akan diuruskan sendiri oleh peguam yang berpengalaman.

Yang penting adalah ini : Jika anda sanggup melaburkan wang anda dengan banyak untuk sesuatu urusan, adalah lebih baik anda laburkan sedikit untuk melantik peguam agar wang anda tidak hilang begitu sahaja kalau-kalau ianya adalah suatu penipuan.

Stay KULS...

Apa khabar :)

Assalamu'alaikum dan apa khabar?

Sepertimana yang dinyatakan di atas, blog ini khas untuk kami kaum lelaki yang hensem, gagah lagi perkasa. Kaum perempuan bukanlah tak boleh skodeng blog ni. Tapi saya minta agar kaum hawa yang comel agar keep an open mind. Kalau tak puas hati, pergilah lepaskan geram kat suami atau boyfriend anda, ya? Hahaha!

Serba sedikit tentang saya : Saya ialah seorang peguam yang sudah menjadi peguam semenjak 1998. Bidang pengkhususan saya ialah dalam kontrak (perjanjian), pertikaian sivil dan mengorat perempuan. Hahaha! Gelak lagi...

Saya juga minat menulis dan dua kali dapat hadiah dalam penulisan cerpen anjuran DBP. Sekarang saya lebih minat menulis novel di blog. Lawatilah blog saya di http://damia-damia.blogspot.com kalau ada masa, ya?

Oh ya! Blog KULS ini sebenarnya bertujuan untuk memuatkan sebanyak mungkin info yang berguna selain dari membuat lawak tak bertempat dan hiburan. Jadi saudara dan saudari semua adalah amat dialu-alukan untuk menyumbangkan apa-apa info berguna tetapi jangan pasal mekap atau fesyen perempuan, tau?

Stay KULS :)