Monday, 11 October 2010

Melukis Buah-Buahan Di Dalam Masjid

KULS 6/10/10

Aku selalu terfikir bahawa alangkah bagusnya jika masjid atau surau dijadikan pusat pengembangan ilmu muttakhir untuk umat Islam. Bukan maksudku setakat ceramah dan kuliah agama sahaja. Maksudku ilmu berkenaan dengan apa sahaja. Tatkala dalam masjid atau surau kosong kerana belum masuk waktu bersolat lagi, tentu amat bagus kalau di dalamnya ada kelas-kelas yang menarik seperti bengkel penulisan, kursus senilukis, kelas komputer dan grafik 3D, kelas fotografi dan macam-macam lagilah. Semuanya dibuat dalam masjid atau surau. Kerana apa? Kerana ianya lebih berkat dan ramai malaikat serta jin yang turut serta dalam majlis ilmu tersebut. Allah melimpahkan rahmatnya dengan banyak di dalam majlis ilmu seperti ini.

Juga sekali-sekala adakan khidmat bantuan dan nasihat percuma seperti khidmat guaman, nasihat diet dan pemakanan, nasihat tentang penjagaan kesihatan diri, pertolongan cemas, kaunseling untuk remaja dan banyak lagi yang tiada dalam otakku tapi mungkin ada dalam otak korang buat masa ini. Semuanya juga dibuat dalam masjid atau surau.

Untuk pembelajaran praktikal pula, buatlah kelas-kelas seperti kelas seni mempertahankan diri (tak semstinya silat), kelas automotif iaitu cara-cara asas untuk menyelenggara kenderaan, kelas membaikpulih peralatan elektrik yang asas, kelas pertukangan kayu dan besi dan macam-macam lagilah… yang juga tiada terfikir oleh otakku buat masa ini yang mungkin ada terfikir oleh otak korang sekarang. Semuanya dibuat diperkarangan luar masjid atau surau.

Dengan cara ini kita pasti akan dapat mengimarahkan masjid dan surau agar ianya tidaklah selalu kosong dan sunyi macam gereja, tokong atau kuil agama lain. Malah melalui kelas-kelas dan pembelajaran-pembelajaran percuma sebegini, pelbagai golongan umat Islam termasuk remaja akan lebih dekat hati mereka kepada masjid. Inilah yang Rasulullah SAW mahukan… orang muda yang hatinya sentiasa tergantung (teringatkan) masjid.

Cuma aku harap janganlah pula masjid dan surau ini diambil kesempatan oleh mana-mana parti politik untuk menjadi pentas mengembangkan ideologi politik mereka pula. Orang sebegini sepatutnya diusir keluar kerana lambat-laun akan menjahanamkan semangat mengimarahkan masjid dan menimbulkan bibit kebencian di kalangan umat Islam. Peringatan ini ditujukan khas buat parti yang mempunyai majoriti orang Islam. Tak kiralah sama ada mereka ini UMNO, PAS atau PKR.

Stay KULS.

No comments:

Post a Comment